Pada suatu hari, ada seekor kancil yang bernama Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan.
Kemudian dia terjumpa sebuah taman yang luas dan indah. Ada bunga raya, bunga matahari, bunga mawar dan bunga seri pagi. Sang Kancil berpusing-pusing di dalam taman dengan gembira. Dia gembira dapat melihat bunga yang berwarna-warni.
Tiba-tiba dia ternampak ada benda kecil di atas sekuntum bunga mawar. Dia datang dekat kepada benda kecil itu. Rupa-rupanya benda itu adalah seekor rama-rama yang cantik sekali! Sang Kancil sangat girang melihat rama-rama yang cantik.
Dia pun menyapa rama-rama itu, "Hai rama-rama! Aku Sang Kancil. Siapa nama kamu?"
Rama-rama menjawab, "Namaku Sang Rama-rama."
Sang Rama-rama juga gembira berjumpa dengan Sang Kancil yang peramah dan suka berkawan.
"Kamu buat apa di atas bunga mawar?" Tanya Sang Kancil.
"Oh, aku sedang menghisap madu bunga," jawab Sang Rama-rama. "Madu ini manis dan lazat."
"Oh, begitu." Sang Kancil mengangguk-angguk. Barulah dia faham mengapa Sang Rama-rama suka menghisap madu.
Kemudian Sang Rama-rama membawa Sang Kancil berpusing-pusing mengelilingi taman. Sang Rama-rama memberitahu kesemua bunga yang ada di taman itu cantik dan mekar kerana mendapat cahaya matahari yang menyinar terang.
Setelah puas berjalan-jalan, Sang Kancil meminta diri untuk pulang. Dia berjanji akan datang melawat Sang Rama-rama lagi pada masa akan datang. Mereka melambai-lambai dan Sang Kancil pun pulang ke rumah. Dia sangat seronok berjalan-jalan pada hari itu kerana mendapat sahabat yang baik hati seperti Sang Rama-rama.
Moral : Sekiranya kita bersikap peramah dan suka berkawan, sudah pasti kita akan mendapat ramai sahabat.